Surat Untuk Abang – Prolog

Pintu bilik terbuka. Aku cuba menerpa keluar, namun sempat ditegah emak. Bahuku dipaut lembut oleh emak, kemudian diusap-usap seolah-olah emak mahu menenangkan aku.

Aku tak boleh bertenang! Jiwaku bergelora, pelbagai rasa berkumpul menjadi satu, menyesakkan minda yang sedang kusut.

“Emak….” Suaraku serak. Kolam mataku bergenang. Aku mengerdipkan mata apabila emak memegang pipiku.

“Kakak tak boleh macam ni. Kakak kena sabar. Kakak dah janji kan? Sabar sikit je. Percaya dengan ayah malam ni. Bagi ayah pulak peluang untuk tunaikan tanggungjawab ayah,” pujuk emak seraya menarik tanganku ke katil.

Di atas katil yang cadarnya sudah bertukar semenjak petang tadi, emak membaringkan aku. Kemudian emak duduk di sebelahku.

Emak memandangku hiba. Bibir emak tersenyum, tapi aku tahu hati emak sedang menangis. Riak kesedihan itu tak mampu diselindungkan emak. Saat itu aku tahu, hati emak sama berlibang-libu seperti hatiku.

“Tidurlah.” Emak menepuk bahuku. Tiba-tiba aku terasa seperti aku masih seorang anak kecil yang tidak boleh tidur malam. Emak terpaksa mendodoikan aku.

“Kakak tak boleh tidur.”

“Cubalah dulu. Pejam mata pun belum, macam mana kakak nak tidur? Setahu emak anak emak ni tak pernah tidur dengan mata terbuka.” Emak cuba berlucu. Bukannya aku terasa geli hati, sebaliknya aku ingin menangis mendengar lelucon emak.

Kupejamkan mata. Seraut wajah itu hadir.

“Kakak tak boleh ….”

Aku tidak mampu melelapkan mata. Pelbagai firasat merasuk di minda, tidak dapat kucampakkan begitu saja. Meskipun tangan emak mengusap rambutku dan rasa kantuk itu perlahan-lahan mula menjemput lena, aku masih gagal memejamkan mata.

Bagaimana mungkin aku mampu melelapkan mataku? Di sana, di suatu tempat yang jauh dariku, seseorang yang paling kusayang sedang bertarung antara hidup dan mati.

Dan aku? Mustahil untuk aku terlena tanpa dihantui igauan ngeri.

Jantungku berdetak tak sekata. Iramanya melagukan ketakutan yang maha dahsyat.

Ya ALLAH , bagaimana jika segala yang berlaku tidak seperti yang dirancang?

“Istighfar, kakak. Ingat ALLAH ….” Dadaku yang berombak kencang digosok perlahan oleh emak. Mungkin emak mahu menenangkan detak jantungku yang berdegup tak mahu terlalu kuat, seakan emak turut mendengarnya.

“Istighfar.” Pinta emak lagi. ”

Serahkan semuanya pada ALLAH. Dia lebih mengetahui.”

Aku menggigit bibir. Pinggang emak kupeluk erat. “Kakak takut, emak. Kakak takut .”

“Jangan takut. Emak ada dengan kakak. Emak temankan kakak tidur malam ni.” Lantas emak rebahkan badan emak di sebelahku. Emak memeluk aku yang sedang mengongoi seperti anak kecil.

Dejavu.

Aku pernah mengalami hal seperti ini setiap kali aku menjerit apabila aku mimpi ngeri di malam hari. Emak datang ke bilikku menenangkan aku. Kadangkala sehingga terpaksa menemaniku sehingga aku benar-benar terlelap.

Aku memejamkan mataku rapat. Memaksakan lena datang menutup malamku.

“Ibu.” Suara halus itu terngiang-ngiang di telingaku. Pinggang emak kupeluk semakin erat. Dadaku seperti mahu pecah kerana rasa yang tidak mampu kusalurkan.

“Kenapa kakak?” soal emak, berhenti menepuk belakangku. Aku angkat kepalaku, menatap wajah emak yang disapa kebimbangan melihat anak sulungnya semakin lencun dengan air mata.

“Kakak ….” Suaraku tersekat-sekat. ”

Ka … kakak rindukan …”

“Emak tahu. Emak tahu.”

Dalam sepi malam ngongoianku semakin terdengar. Emak sudah tidak ada daya mahu memujukku lagi. Semua bahasa gurindam emak tak lut ke jiwaku.

Aku mahukan Akeef. Aku ingin sekali berada di sampingnya. Aku ingin menggenggam tangannya, memeluk tubuhnya sehingga aku terlelap kerana keletihan.

Emak menarik tanganku. Mengusap lembut belakang tanganku. Aku tahu emak mahu menggenggam tanganku, namun tidak dapat emak lakukan. Jari-jariku berbungkus plastik kesemuanya. Esok pagi baru boleh dibuka.

“Tidurlah, kakak. Tidur. Dari DIA kita datang, kepada DIA kita kembali. Dunia ni pinjaman. Jangan sedih kalau DIA ambil kembali sesuatu yang menjadi milik-NYA. Kita hanya pinjaman di dunia. Begitu juga dengan Akeef, kakak. ” Emak berbisik lembut di telingaku. Sebelah tangan emak tanpa henti mengusap belakangku.

Bicara emak cuba kuhadamkan. Hatiku retak seribu. Sesungguhnya emak benar, apa yang kumiliki kini abadinya milik TUHAN. Pemberian-NYA kepadaku, dipinjamkan buat seketika.

Suatu masa, di antara sedetik ke belakang menuju masa hadapan, pinjaman itu bila-bila masa akan diminta dipulangkan kembali.

Siapa aku untuk menghalang?

Siapa aku untuk melarang?

Aku bukan siapa-siapa. Hatta aku juga makhluk pinjaman-NYA di dunia.

ALLAH. ALLAH.

Berikan aku kekuatan untuk menghadapi hari ini. Semakin hari semakin sulit untuk kujalani. Ajarkan aku erti reda yang sebenar. Hadiahkan aku walau sekelumit erti tabah dan sabar.


PROLOG BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5


BELI NOVEL SURAT UNTUK ABANG (PENULIS: AK RAFFHAN)

Leave a Reply