Jangan Pernah Katakan Cinta – Bab 1

ISNIN. Permulaan hari yang suram bagi Zafirah Nur atau lebih mesra dipanggil Zaff oleh rakan sekerjanya. Dia masih belum sembuh sepenuhnya daripada demam. Atau lebih tepat, dia jadi begitu disebabkan terlalu penat ‘dikerjakan’ suami gilanya, Redza.

“Kalau dah tahu tak sihat, kenapa datang juga kerja?” bebel Faezah, rakan sekerja Zaff.

“Zaff okey, kak. Demam sikit je. Lagipun kerja banyak.” Zaff pamer senyum nipis. Dia kena datang ke pejabat kerana hari ini dia perlu menghantar laporan bulanan syarikat. Tak nak menjadikan alasan tidak sihat sebagai penghalang, walaupun nampak jelas dia memang perlukan rehat. Lagipun sebagai pekerja yang baru beberapa bulan bekerja di situ, dia tak mahu dipandang serong kerana kerap mengambil cuti.

“Okey apa kalau muka lebam macam ni.” Faezah geleng kepala.

“Okey, kak. Zaff nak jumpa Encik Kamil dulu.” Tanpa mempedulikan kata-kata Faezah, Zaff melangkah ke bilik Encik Kamil. Dia membetulkan rambutnya agar menutupi kesan lebam di wajah sebelum masuk ke bilik pejabat Encik Kamil. Dia tak mahu majikannya itu kecoh. Cukuplah yang sebelum-sebelum ini. Dia tak perlukan simpati sesiapa.

“Masuk.” Encik Kamil bersuara.

Zaff melangkah masuk. Saat dia berdiri di depan meja Encik Kamil, kesunyian mengisi segenap ruang. Dua pasang mata hanya saling bertentang. Baik Zaff atau Encik Kamil, keduanya seakan kelu untuk memulakan kata.

“Encik Kamil, ini laporan yang saya dah siapkan.” Zaff akhirnya bersuara. Laporan di tangan diletakkan di atas meja.

Tiada kata balas daripada Encik Kamil. Matanya mengecil. Belum habis meneroka wajah suram yang sedang menunduk di hadapannya itu. Ada kesan lebam pada wajah cantik itu. Bibir pula berbirat luka.

“Kalau tak ada apa-apa lagi, saya keluar dulu.” Zaff tak mahu berlama. Dia tak selesa bila diperhatikan Encik Kamil atas bawah. Bukannya dia tak mengerti dengan pandangan tajam majikannya itu.

“Zaff, nanti. You duduk dulu,” halang Encik Kamil. Dia tahu dia perlu lakukan sesuatu. Pekerjanya ini perlu disedarkan.

Dengan hati yang berat, Zaff akur. Dia tarik kerusi dan melabuhkan duduk di situ dengan perasaan yang berbaur.

“You kena pukul dengan suami you lagi?” Encik Kamil menyoal.

Zaff hanya menunduk. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak.

Diam Zaff membuatkan Encik Kamil melepaskan keluhan. Ini bukan kali pertama, pekerjanya itu datang kerja dengan muka yang lebam-lebam begitu.

“Beri I tolong you, okey? Kita…maksud I, I bawa you lari dari dia, nak?” Bukan kali pertama Encik Kamil cuba menawarkan bantuan. Dan kali ini dia mencuba lagi.

Zaff menggeleng. Lari? Untuk lari, dia perlu berfikir seratus kali kerana setianya masih bersama suaminya itu. Ada janjinya bersama Redza yang dia takkan mungkiri. Melainkan jika Redza yang terlebih dahulu mengkhianati, barulah dia sendiri yang akan pergi dari lelaki itu.

“You nak tunggu sampai bila, Zaff? Bukan sekali dua dia buat you teruk macam ni. Takkan nak tunggu you mati di tangan suami buas you tu, baru you nak menyesal sebab tak nak dengar cakap I?” desak Encik Kamil.

Zaff masih berdiam diri. Hidung yang mula panas dia gosok dengan belakang tangan. Memang betul dia sakit dengan sepak terajang yang dihadiahkan Redza, tetapi untuk melangkah pergi meninggalkan lelaki itu, tak mungkin sama sekali.

“Menangislah…lepaskan apa yang terpendam di hati you tu.”

Beberapa ketika, Encik Kamil hanya biarkan Zaff menghamburkan segala kesedihan sehinggalah tangisan wanita itu reda sendiri.

“I hantar you ke klinik. Lepas tu kita buat laporan polis,” cadang Encik Kamil.

“Tak apa, Encik Kamil. Terima kasih untuk tawaran encik tu tapi saya okey. Saya tahu suami saya tak sengaja. Saya keluar dulu. Ada banyak kerja saya nak kena siapkan.” Cepat-cepat Zaff menggeleng. Air mata yang bersisa di pipi diseka laju.

Encik Kamil mendengus. Sehingga ke tahap ini Zaff masih tetap mahu membela Redza. Sayang Zaff pada Redza langsung tak bersyarat. Sampai badan penuh dengan kesan lebam pun dia masih setia di sisi suaminya itu.

“You masih nak kerja dengan muka macam ni? Suka kalau semua staf nampak you begini? You tak malu?!” Nada suara Encik Kamil naik satu oktaf. Geram dia dengan kedegilan wanita itu.

Zaff hanya menekurkan wajahnya.

“Kalau tak nak ke klinik, you balik rehat kat rumah. Ambil EL dua hari, atau sampai semua lebam dekat muka you tu hilang, baru datang kerja semula,” sambung Encik Kamil dengan suara yang kembali mengendur.

“Tapi encik…”

“Tak ada tapi-tapi!” pangkah Encik Kamil. Tegas.

Zaff tahu dia tiada pilihan. Hendak tak hendak dia terpaksa akur dengan arahan majikannya itu. Akhirnya dia mengangguk.

Encik Kamil melepaskan keluhan berat.

“I tak faham kenapa you masih nak bersama dengan dia lagi. You boleh minta cerai dan mulakan hidup baru yang sudah pasti lebih baik.” Nasihat Encik Kamil. Kali ini dia berharap sangat yang Zaff akan bersetuju dengan cadangannya.

Kata-kata Encik Kamil, Zaff sambut dengan kebisuan. Dan kebisuan Zaff buat Encik Kamil semakin berani. Lelaki itu bangun mendekati Zaff.

“You masih muda, Zaff. Kalau dia tak nak hargai you selayaknya sebagai seorang isteri, masih ramai yang nak jadikan you isteri,” tambah Encik Kamil. Tangannya dijatuhkan ke bahu Zaff dan diramas bahu kurus itu dari belakang.

Zaff telan liur yang mula terasa pahit. Dia dapat rasakan Encik Kamil bukan hanya sekadar bersimpati dengannya, tetapi perhatian yang ditunjukkan lelaki itu nampaknya sudah terlebih.

“Zaff…” Intonasi suara Encik Kamil berubah. Tubuhnya semakin merapati Zaff.

“Encik…” Zaff cuba menganjakkan duduk. Sedar tingkah Encik Kamil semakin melampaui batas. Kalau tadi nampak ikhlas, kenapa kini serupa mahu mengambil kesempatan pula?

“I boleh jaga dan lindungi you, Zaff. I ikhlas.” Dari bahu, tangan Encik Kamil melurut mahu memaut jemari Zaff sebelum wanita itu nekad untuk berdiri.

“Apa yang encik merepek ni?!” Bulat mata Zaff memandang Encik Kamil.

Sesungguhnya dia benci dengan perkataan ikhlas. Dulu Redza juga pernah mengaku ikhlas mencintainya. Dan kerana percayakan keikhlasan Redza, dia menerima cinta lelaki itu. Akibatnya, dia terperangkap dalam sebuah keikhlasan yang palsu. Hati dan tubuhnya berterusan disakiti tanpa sebab. Semuanya hanya kerana percayakan janji manis seorang lelaki!

“I sanggup ambil you jadi isteri kedua I kalau you setuju.” Encik Kamil sudah tak mampu menahan diri. Sebelum ini hanya kata simpati yang kerap muncul di bibirnya, tetapi kini dia sudah tak mampu menyembunyikan keinginan hatinya.

“Buat sementara, you boleh tinggal dengan I. I cari rumah baru untuk you. Tentang suami you, nanti I minta kawan I yang uruskan. Lepas semuanya selesai, kita kahwin.”

Ajakan melampau Encik Kamil cuma menambah rasa menyampah Zaff pada lelaki itu. Kenapa semua lelaki suka ambil kesempatan di atas kelemahan wanita? Lupakah lelaki ini pada si isteri yang setia menanti di rumah? Dia lebih rela menghabiskan sisa hidupnya bersama Redza daripada menjadi pengacau rumah tangga orang.

“Saya rasa lebih baik saya keluar dulu.” Zaff mahu beredar. Rasanya tiada guna dia terus berada di bilik itu.

“Bagi peluang pada I untuk jaga you.” Encik Kamil menghalang langkah Zaff. Dia menarik kasar blaus yang tersarung di badan Zaff sehingga butang paling atas blaus itu tercabut, lalu menampakkan lekuk dada Zaff yang putih dan gebu.

“Sekali saja Zaff…” Pandangan simpati Encik Kamil berubah menjadi pandangan bernafsu tatkala matanya singgah pada lekuk dada Zaff yang terdedah.

“Sekali…I cuma nak sekali.”

“Jangan melampau, encik!” Zaff cuba menepis bila tangan Encik Kamil semakin menghampiri dadanya. Namun, tindakan lelaki itu lebih pantas. Tubuh Zaff dirangkul ke dalam pelukan.

“Stop it, encik!” jerit Zaff, tak rela diperlakukan begitu. Kuat dia meronta cuba menolak wajah lelaki kemaruk yang sedang dikuasai nafsu serakah itu.

“Just give me one chance, Zaff!” Pelukannya semakin dikejapkan. Dia masih belum sudah dengan kerja gilanya itu.

“Ops! Sorry.” Suara garau seseorang mematikan tindakan Encik Kamil. Serentak, dia dan Zaff berpaling ke arah pintu. Untuk seketika, masing-masing tergamam.

“You tunggu I kat luar.” Sempat Encik Kamil berbisik di telinga Zaff sebelum melepaskan pelukan. Dia membetulkan kemeja di tubuhnya.

Zaff tidak membalas. Memang bodohlah kalau dia mahu menurut kehendak lelaki itu. Alang-alang sudah disuruh mengambil cuti, lebih elok dia segera pulang. Untuk berdepan dengan Encik Kamil selepas ini, nampaknya dia perlu lebih berhati-hati!

“Indra! Masuklah. Buat apa tercegat kat situ?” pelawa Encik Kamil. Dia hanya pamer riak wajah yang tak bersalah pada teman baiknya itu. Tiada apa yang hendak dimalukan. Lagipun dia kenal Indra. Lelaki itu pun bukan baik sangat orangnya. Sekurang-kurangnya, bila Indra sudah nampak dia begini dapatlah dia berbangga dengan lelaki itu.

Tak menunggu lama, Zaff segera berlalu dari bilik itu. Dia tundukkan wajah. Dengan rasa malu yang tak tahu mahu disorokkan ke mana, dia keluar melintasi lelaki yang sedang merenungnya dengan mata yang tajam menikam. Aibnya dia waktu itu hanya TUHAN sahaja yang tahu. Dimalukan majikan sendiri, dan apalah yang difikirkan lelaki tegap yang masih berdiri di jenang pintu itu. Sungguh dia malu!


PROLOG BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5  BAB 6  BAB 7  BAB 8  BAB 9  BAB 10


BELI NOVEL JANGAN PERNAH KATAKAN CINTA (PENULIS: ANN)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *