Nak Ajak Jumpa Abah – Bab 1

BERGENANG air mataku. Tidak menyangka bakal mendengar khabar begini. Padanlah abah lain macam saja sejak aku pulang tadi. Rupanya abah ada sesuatu untuk disampaikan. Dan sesuatu itu sangat aku tidak jangkakan. Sangat menyakitkan hati. Aku anggap ketidakadilan yang disengajakan.

Tanpa menunggu perbincangan berakhir, aku tinggalkan ruang tamu. Aku tidak boleh berada di situ lagi kerana waktu ini aku benar-benar sakit hati dan rasa terlalu kecewa dengan keputusan abah. Aku bimbang bakal mengeluarkan kata-kata yang bakal menggores perasaan abah. Bila sedang marah, pasti saja aku terlupa akan segalanya. Bimbang aku terlupa sedangkan abah adalah insan yang perlu aku hormati. Aku mengalah di dalam marah.

Sudahlah selama ini aku merasakan terlalu banyak beban dosa yang terpaksa aku pikul hanya kerana selalu bertekak dengan abah.

Cuma yang buat aku sangat-sangat kecil hati ialah, ternyata kali ini abah memang berat sebelah. Pilih kasih. Seperti tiada lelaki lain dalam dunia ini untuk dijadikan pak sanggup.

“Fie…”

Ady panggil namaku, namun aku tak peduli. Terus saja menuju bilik.

“Fie, dengarlah dulu. Keluarga kita ada masalah besar. Takkan Fie nak biarkan macam tu saja.”

Ady tahan aku ketika aku sudah sampai di muka pintu bilik. Berdiri di hadapanku seperti mahu berikan aku penjelasan. Sekarang ini aku tidak mahu mendengar sebarang penjelasan lagi. Semuanya sudah tidak berguna. Keputusan abah memang muktamad. Sudah tidak boleh diubah lagi.

Lelaki berkulit sawo matang dengan rambut lurus tegak itu seolah-olah keliru juga dengan keputusan abah. Tapi dia langsung tidak berkata tidak walau sekali. Hanya membatukan diri dengan keputusan abah. Atau abah sudah gula-gulakan Ady dengan upah yang cukup lumayan untuk menjadi suami Nana? Kalau tidak masakan Ady boleh terima begitu saja.

“Itu bukan masalah keluarga kita, tu masalah Nana. Biar dialah yang selesaikan. Yang awak sibuk nak jadi pak sanggup kenapa?”

Tangisan bermula. Masa abah buat keputusan tadi aku sudah mahu menangis tapi aku tahan. Sesungguhnya aku cuba untuk tidak menampakkan kelemahanku di mata sesiapa pun terutama Nana.

“Masalah Nana, masalah keluarga kita juga, Fie. Saya memang tak ada pilihan. Saya terpaksa ikut permintaan abah. Awak tahu kan saya ni anak pungut. Kalau abah tak pungut saya, saya pasti tak jadi seperti sekarang ni.” Tenang saja suara Ady memujuk.

Ady memang begitu. Mana pernah marah-marah. Jauh sekali hendak melawan kata-kata abah. Akur saja setiap arahan.

Ady betul. Dia hanya anak angkat abah. Dia tinggal bersama kami ketika dia berusia 15 tahun. Sebelum tu aku tidak tahu siapa Ady. Yang aku tahu Ady adalah anak kepada kawan baik abah. Ibu bapanya meninggal dunia, sebab itulah abah ambil jadi anak angkat. Yang lain-lain aku memang tak tahu tentang Ady.

Kami menjadi rapat selepas itu. Boleh dikatakan ke mana saja kami akan bersama. Ady seorang yang cukup baik. Dia sangat menghormati orang lain. Tutur bicaranya sangat sopan. Bila usia kami berganjak dewasa, status hubungan kami juga berubah seiring dengan peredaran waktu. Daripada kawan baik kami bertukar kepada pasangan kekasih. Abah pula tak membantah. Sebaliknya sangat merestui hubungan kami.

Aku benar-benar sayangkan dia. Dan sekarang ini aku terpaksa serahkan Ady kepada adikku sendiri sebab Nana beritahu abah dia sudah mengandung. Susah sebenarnya untuk aku percaya sebab aku tahu Nana juga menaruh hati terhadap Ady sejak dulu lagi. Hanya kebelakangan ini dia berubah bila dia mula menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki. Tapi tidak sangka Nana boleh terlanjur sehingga membuatkan dia mengandung. Khabarnya lelaki tersebut sudah pun menghilang diri dan tidak mahu bertanggungjawab sama sekali ke atas kandungan Nana.

Jalan terbaik, Ady terpaksa jadi pak sanggup bagi menutup aib keluarga. Ini yang aku tak sanggup terima.

“Saya sayang abah. Saya tak sanggup abah terima aib nanti. Abah ramai yang kenal. Nanti abah nak letak kat mana muka dia kalau orang tahu anak perempuan abah hamil di luar pernikahan.

Abah memang ramai kenalan. Daripadasahabat-sahabat hingga kepada pelanggan abah. Abah cukup disenangi kerana sikap abah sangat merendah diri. Menghormati kawan dan lawan.

Walau syarikat abah kecil, tetapi cukup disegani oleh pelanggan abah. Syarikat abah membekalkan bahan mentah untuk pembinaan bangunan, jadi tidak hairanlah kalau abah dikenali ramai. Tambahan lagi abah seorang pembekal yang jarang menaikkan harga barang sesuka hati. Harga yang abah letak juga sangat berpatutan membuatkan syarikat abah menjadi pilihan utama pelanggan-pelanggan abah.

“Saya pun sayang abah…” Aku terus melangkah ke bilik. Tidak tahu untuk fikirkan apa-apa lagi. Ini melibatkan soal keluarga. Memang betul kata Ady, ini melibatkan soal maruah abah sama. Bila melibatkan soal keluarga, aku benar-benar dihimpit rasa bersalah. Bagi aku, keluarga adalah segala-galanya.

Pilihan yang aku ada sekarang ini hanyalah beralah dengan menyerahkan Ady kepada adik kandungku sendiri. Dan akhirnya antara aku dengan Nana, Nana juga yang berjaya memiliki Ady walau dengan cara terpaksa.

Sudah 4 tahun umi meninggal dunia, namun abah tak pernah suarakan hajat mahu beristeri lain untuk mengisi kekosongan hidupnya. Kesetiaan abah itulah buat aku sangat bangga dengan abah. Tapi kenapa kali ini abah harus pilih kasih? Hati aku benar-benar sakit bila ingat semula keputusan abah.

Pintu bilik diketuk berkali-kali.

“Kakak, buka pintu ni…” Suara abah memanggil.

“Kakak nak tidur!”

Agak kasar jawapanku.

“Kakak jangan tipu abah. Abah tahu kakak belum tidur. Kakak, tolonglah dengar penjelasan abah kali ni.” Abah seakan merayu membuatkan aku benar-benar lemah.

“Abah nak cakap sesuatu dengan kakak.”

Sebenarnya abah bukan nak bercakap. Abah nak memujuk. Abah tahu kelemahanku, dan kelemahan itulah alasan untuk abah memujuk. Hendak atau tidak aku kena buka pintu juga, kalau tidak sampai malam abah akan ketuk pintu. Aku kenal abah. Seorang lelaki yang tak kenal erti putus asa.

Aku turun dari katil dan bergerak ke pintu. Perlahan aku tarik pintu dan abah tercegat di muka pintu.

“Abah nak cakap apa lagi? Abah dah cakap tadi, kan?” Aku berjalan semula ke katil. Duduk di birai katil sambil sapu air mata.

“Abah tahu kakak marahkan abah, abah cuma mahu kakak faham keadaan abah. Nanti di mana abah mahu letak muka abah? Kalau abah tahu jadi begini, biar abah saja yang pergi dulu. Biar abah gantikan tempat umi.”

Kata-kata abah menambah pilu di dadaku. Aku sapu air mata. Sungguh tidak adil aku rasakan. Abah seperti sedang ugut aku dengan sesuatu yang amat melukakan hatiku.

“Kenapa dari dulu sehingga sekarang, kakak saja yang kena beralah? Semua barang yang kakak suka terpaksa diserahkan pada Nana. Sehingga yang ini pun kakak kena beralah juga ke abah?” Hati sudah lama terhiris dan sekarang bagai dicencang lumat. Selalu pun aku rasa abah banyak pilih kasih. Tapi kali ini, abah sudah melampau. Ikutkan sangat kehendak Nana.

“Kakak anak pungut, ke abah? Kakak pun sama macam Ady? Sebenarnya kakak ni anak siapa? Siapa orang tua kakak?” Air mata tak boleh aku tahan-tahan lagi. Laju saja turun ke pipi. Sedih dan pilu. Kali ini aku benar-benar terluka.

“Kenapa kakak cakap macam tu. Kakak anak abah, anak kandung abah.” Abah peluk aku dengan erat. “Tapi kenapa layanan abah berbeza sangat. Abah lebih sayangkan Nana.”

Abah diam. Mungkin abah tiada jawapan. Atau mungkin abah baru sedar yang abah memang pilih kasih selama ini? Apakah abah baru tahu, dalam banyak hal abah memang lebihkan Nana.

“Abah tak pernah pilih kasih. Kasih sayang abah sama saja buat kakak dengan Nana. Dua-dua anak kandung abah. Abah tak pernah bezakan pun keduanya.”

Tapi kenapa aku rasa yang sebaliknya? Kenapa aku seperti dianaktirikan? “Tak mengapalah. Kalau itu sudah permintaan abah, kakak turutkan. Kakak sayang abah. Kakak tak nak abah dapat malu.”

Sekali lagi, aku membuat keputusan yang sangat sukar. Aku mengalah entah untuk ke berapa kali. Sesungguhnya aku tak sanggup untuk mendengar abah merayu-rayu. Hati makin sayu.

Langsung abah peluk aku dengan erat. Entah kenapa, aku sudah hilang rasa. Semuanya jadi kosong kini.

“Anak manja, kan. Sikit-sikit abah pujuk.” Nana tercegat di muka pintu sambil berpeluk tubuh. Bibirnya tak sudah mencebik. Aku rasa nak tampar saja mulut Nana. memang kurang ajar.

“Apa yang kamu tak puas hati lagi, Nana?” soal abah. Abah leraikan pelukannya.

“Kenapa pula abah tanya macam tu? Nampak Nana tak puas hati ke?” soal Nana. Muka dia tu memang layak bagi penampar saja. Tapi disebabkan dia anak kesayangan abah, kalau aku bagi penampar, abah yang sakit hati nanti.

“Yalah, serupa orang tak puas hati saja. Abah tak pernah bezakan kasih sayang antara anak-anak abah. Abah sayang sama rata. Adil. Tak ada yang abah lebihkan. Kakak atau adik sama saja.”

Sebenarnya aku rasa abah tak tahu apa itu sama rata dan adil. Aku tahu abah tidak sedar abah lebih sayangkan siapa. Hanya aku saja yang merasakan kasih yang dibezakan. Nana pula tidak boleh aku lebih sikit. Mulalah dia buat perangai. Dari dulu perangai Nana memang begitu. Seolah-olah kami tidak dilahirkan dari rahim yang sama. Ada saja yang tidak kena di mata Nana.

Abah tinggalkan aku. Aku tahu abah tidak mahu bertekak dengan Nana.

“Tak payah kut nak sedih sangat. Abang Ady tu bukannya sayang kakak pun. Disebabkan kakak tu anak manja, mengada-ada, tu pasal Abang Ady layankan aje perangai bodoh kakak tu.”

Mujur ketika ini aku memang benar-benar sudah hilang rasa. Kalau tidak, memang Nana teruk aku kerjakan.

“Yalah, kakak kan mengada-ada. Tapi mengada akak taklah sampai nak serahkan tubuh badan kepada lelaki yang entah siapa-siapa. Murah sangat kut kalau buat perangai macam tu.” Aku perli Nana.

“Ke sengaja nak mengandung dengan harapan Ady boleh jadi pak sanggup?”

“Itu masalah Nana, apa yang penting sekarang ni, Abang Ady akan jadi milik Nana tak lama lagi. Harap berputih matalah ye.” Nana juga bergerak tinggalkan bilikku. Betul kata orang, bila sudah terlalu sakit, kesakitan itu sudah tidak dirasakan lagi.

Tapi aku tidak pasti sama ada Nana betul-betul mengandung atau tidak. Bimbang sekadar helah Nana semata. Apa pun aku cuba belajar untuk reda. Sudah tertulis bukan jodoh aku dengan Ady.

Hendak diapakan lagi.


BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5


BELI NOVEL NAK AJAK JUMPA ABAH (PENULIS: NUEEN)

Leave a Reply