Jangan Pernah Katakan Cinta – Prolog

DI LUAR ruangan khas yang berpagar itu, dia berdiri kaku. Memandang sayu sekujur wajah lesu di sebalik cermin kaca itu. Wajah milik lelaki yang pernah suatu ketika dulu mengajarnya erti bahagia. Lelaki itu jugalah yang pernah menghadiahkan dirinya derita. Dan kini, lelaki itu hanya mampu diam membisu.

“Pergilah… kalau dia sudah tak ingatkan sesiapa, tapi mungkin tentang you dia masih ingat.”

Kata-kata itu buat dia kalih pandang pada lelaki yang sedang berdiri tenang di sisinya bersama si kecil. Lelaki yang bergelar suami ini tetap setia menyokongnya. Seperti janjinya, takkan pernah buat dia menangis sendiri lagi.

“Pergilah.” Bersama senyuman, suaminya memberi izin untuknya bertemu dengan lelaki yang pernah hadir dalam kisah silamnya dulu. Tidak pernah menyimpan perasaan sangsi di hati.

Sekali lagi dia memandang tubuh kurus yang ditempatkan dalam bilik kurungan itu. Nampak lemah sekali. Tangan dan kaki yang pernah suatu ketika dulu begitu gagah menyakiti tubuhnya, kini hanya terkulai layu. Hanya mampu membalas pandangannya dengan renungan mata yang dalam. Seolah-olah dirinya yang pernah dilayan seperti sampah ini masih dikenali lelaki itu.

“Dia tunggu you tu. Masuklah,” gesa suaminya lagi bila dia masih lagi teragak-agak untuk mendekati lelaki itu.

Liur ditelan perlahan. Bimbang dia tak mampu menahan kesedihan bila berdepan dengan lelaki itu. Pandangan sayu lelaki yang sudah seratus peratus hilang memorinya itu seperti sedang menyesali dosa-dosa silamnya. Dosa yang pernah menghumbankan dia ke dalam kesakitan yang cukup perit dan ketakutan yang amat dahsyat.

Kesakitan dan ketakutan yang tak mampu diterjemahkan dengan kata-kata. Kesakitan dan ketakutan yang dia tak pernah bayang mampu terubat setelah dia diberi peluang kedua untuk merasai nikmat cinta bersama suaminya kini.

Suami yang tidak pernah lokek memberinya kasih, serta melimpahkan sayang yang selama ini dia hanya mampu angankan. Suami yang telah memberinya sinar hidup yang baru.

Semoga suaminya ini terus memimpinnya untuk berjalan ke hadapan. Agar segala memori duka yang pernah tercoret bisa dilupuskan dari lipatan ingatan.


PROLOG BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5  BAB 6  BAB 7  BAB 8  BAB 9  BAB 10


BELI NOVEL JANGAN PERNAH KATAKAN CINTA (PENULIS: ANN)

Leave a Reply