Bukan Kisah Cinta – Bab 2

“DIAN, kau tengok tu siapa depan pintu.”

“Alamak Illy, hantu pakulah!” balas Dian sambil memerhati lelaki yang sedang menolak daun pintu. Dian ada sebab kenapa dia rasa lemas tiap kali Ungku Na’il datang namun Dian cuba untuk menyembunyikan perasaannya itu agar tidak tercium Ilyana.

“Tak baik tau kau panggil dia hantu paku, nama dia Na’il bukan nail paku. Sedap nama bapak dia beri, Ungku Na’il Ismail bin Ungku Abdul Majid. Kau pula panggil dia hantu. Kalau dia hantu, kau pun hantu juga tau sebab kau dengan dia kan sepupu.” Sebut Ilyana berserta sabdunya sekali ketika menyebut nama Ungku Na’il. Namun begitu, Ungku Na’il memang dipanggil Nil atau nail (paku) oleh rakan-rakannya.

“Amboi kau Illy bukan main lagi kau hafal nama Pak Engku walaupun sebenarnya salah. Bukan Abdul Majidlah nama bapak dia.” Beritahu Dian.

“Bukan ehh, kalau bukan Ungku Abdul Majid habis tu Ungku apa?” tanya Ilyana.

“Ungku Ali Abdul Rahman bin Ungku Abdul Majid.” Beritahu Dian lagi. Dia memang sudah hafal nama Ungku Na’il yang panjang itu sejak mereka buka kafe ini dan Ungku Na’il merupakan orang pertama yang mendaftar menjadi peminjam buku-buku mereka. Lagipun nama itu seringkali menjadi sebutan di rumahnya apatah lagi semenjak dua menjak ini, mama dan nenek semakin galak menyebut nama Ungku Na’il.

“Laaaaaa pusing-pusing nama, peninglah aku dengan nama sepupu dan saudara-mara kau ni. Kalau tak panjang nama tu macam tak sah, dah panjang berbelit pula.” Kata Ilyana lagi.

“Dah semua orang nak pakai nama recycle nak buat macam mana, nasib baik abah aku bukan kerabat jadi tidak sibuklah nak recycle nama nenek moyang ni. By the way, aku dengan dia tiga pupu bukan sepupu ya.” Tegas Dian.

“Aik! Macam menyampah aje bunyinya.”

“Tak menyampah cuma pembetulan fakta aje supaya kau tahu jarak hubungan persaudaraan aku dengan dia.” Kata Dian.

Yang sebenarnya, Dian Zahara Mohd. Daim tidak begitu gemar dikaitkan dengan saudara mara ibunya yang bergelar. Dia tidak mahu ada yang salah sangka, seringkali Dian tegaskan, dia bukan kaum kerabat sultan, bau bacang pun tidak ada kerana pertalian darah mereka terlalu jauh. Moyang kepada moyang mereka adik beradik dan apabila sampai kepada Dian, mereka hanyalah saudara seagama sahaja.

“Jangan menyampah nanti kau sayang dia baru tahu.”

“Sayanglah sangat!”

“Tapikan Dian, nama penuh kau kan Dian Zahara bukankah Zaharah tu pun nama moyang kau?” tanya Ilyana seperti tidak puas hati selagi Dian tidak mengaku Dian dan Ungku Na’il dan lain-lain itu bersaudara.

“Mana ada…” balas Dian.

“Tu, Istana Bukit Zaharah, kan sempena nama kaum kerabat kau jugak. Kau Zahara, Bukit Zaharah mesti ada kena mengena ni.” Kata Ilyana.

“Ya ampun Illy, nama jek samalah tak ada kena mengena pun. Nenek aku, emak aku tak ada kena mengena dengan kerabat, kalau ada pun dah jauh sangat. Bukan bau bacang, bukan bau stokin, tak ada baulah senang cakap.” Terang Dian.

“Syyyy Dian, sedara kau pandang kita, jemput dia duduk sinilah ehh.” Sebut Ilyana lagi. Mereka berdua pura-pura berbincang sesuatu tetapi Ilyana tetap mengintai Ungku Na’il yang sedang meletak payung ke dalam bakul rotan yang dikhaskan untuk payung.

Welcome….” Sebut Ilyana dengan ceria.

“Hai Illy.” Sapa Ungku Na’il.

“Hai Ku.” Balas Ilyana. Dian masih senyap, dia pura-pura membaca kembali novel yang sempat diambil dari atas meja sebelum Ungku Na’il masuk ke dalam kafe mereka.

“Datang nak jumpa Dian atau nak makan?” tanya Ilyana selamba.

“Nak pulang buku ni dan dah terlanjur ke sini nak makanlah sekali. Sebenarnya tunggu orang sekali, janji dengan dia nak jumpa kat sini.” Buku tebal berjudul The Ottoman Centuries The Rise and Fall of the Turkish Empire tulisan Lord Kinross itu diserahkan kepada Ilyana.

“Waaaah terima kasih Ku tolong promote kafe kita orang.” Ucap Ilyana dengan gembira.

Dian pula diam membatu, konon-konon khusyuk. Siapa kata Dian khusyuk? Sebenarnya dalam hatinya Dian bertingkah…

Nak dating dalam kedai akulah tu! Dasar buaya!

“Datang sini nak dating ehh?” kepohnya Ilyana, macam tahu-tahu aje apa yang ada dalam fikiran Dian. Wise women thinks alike bak kata pepatah penjajah.

Ungku Na’il senyum. Sahlah tu dating! Habislah kafe kita jadi pusat maksiat! Illy, cepat tulis notis kat depan kedai, dilarang berendut dalam kafe ini!

“Dian, customer datang ni ambil order cepat.” Suruh Ilyana.

“Isyyy I tengah off dutylah, cheesecake ni pun tak abis lagi.”

“Mari sini biar aku habiskan.” Seloroh Ilyana, dia tarik kerusi untuk Ungku Na’il, biar dia duduk di hadapan saudara tiga pupunya ini.

“Duduk sinilah dulu Ku sementara tunggu date you sampai.” Pelawa Ilyana lagi.

“Mak I kirim salam kat you.” Beritahu Ungku Na’il.

Dian membalas salam yang dikirim tetapi dalam hati tetap terdetik, entah betul entah tidak emak dia kirim salam kat aku ni. Na’il ni bukan boleh dipercayai sangat. Jual gula-gula aje lebih.

“You beritahu mak you yang you nak ke mari?” tanya Ilyana. Bagus betul, sudah besar panjang macam ni pun masih beritahu emak ke mana dia pergi, puji Ilyana dalam hati. Besar peranan emak dalam hidup kita yang selalu kita lupakan tetapi Ungku Na’il ini tetap mengutamakan ibunya waima dia mahu pergi berendut sebenarnya. Ilyana senyum sendiri.

“Mak you suruh datang jumpa I ke?” soal Dian pula.

Semalam Dian dengar neneknya dan ibu Ungku Na’il berbual dan ada menyebut nama Dian. Sudahlah minggu lepas teruk Dian diejek Ilham yang mama akan kahwinkan Dian dengan Ungku Na’il. Hanya nama itulah yang disebut-sebut keluarganya akhir-akhir ini. Dian jadi lemas.

“Taklah, mak I tak suruh I datang sini pun tapi I ada cakap dengan dia yang I nak ke kafe you, nak pulang buku. Jadi dia tahulah yang I akan jumpa you.” Terang Ungku Na’il.

Apalah Dian ini, suka benar tuduh melulu. Menyampah sangat dengan Ungku Na’il ni kenapa? Risau benar Dian seandainya keluarganya benar-benar sedang merancang untuk menyatukan mereka berdua. Kalau mama nekad mahu kahwinkan Dian dengan Ungku Na’il, di mana Dian hendak letak buah hatinya?

My mom kata malam nanti ada kenduri kat rumah Ungku Azizah, you pergi tak?”

“Ohh tak pergilah, I kena jaga kafe sebab lepas maghrib Illy nak hantar emak dia pergi Changi.” Beritahu Dian. Awal-awal lagi Ilyana sudah pesan padanya untuk menjaga kafe kerana dia mahu menghantar ibu dan ayahnya terbang ke Melbourne untuk menghadiri majlis perkahwinan saudara mereka di sana.

Lagi pun Dian tahu kenduri di rumah Ungku Azizah, sepupu neneknya itu bukan sekadar kenduri tetapi ada agenda tersembunyi disebaliknya. Kadang Dian terfikir, ibubapa mereka ini macam Freemason ada sahaja rancangan disebalik rancangan, mengatur perjalanan hidup anak-anak dengan menentukan jodoh mereka. Dalam senyap-senyap, orang tua mereka seperti ada Jawatankuasa Mencari Jodoh dikalangan kerabat jauh mereka.

Dakwaan Dian ini diperkuatkan lagi oleh kata-kata neneknya tempoh hari, disebabkan Dian tidak bergelar, eloklah kalau Dian pilih lelaki yang bergelar supaya anak-anak Dian nanti boleh menggunakan gelaran itu semula. Apabila Dian mempersoalkan ibunya sendiri tidak memilih jodoh yang bergelar, kenapa dia pula yang disuruh (seperti diwajibkan pula sekarang ini) untuk dijodohkan dengan kaum kerabat mereka, tidaklah pula ada jawapan ke atas soalannya itu.

“You pergi tak?”

“I pun tak pergilah.” Jawab Ungku Na’il.

“Kenapa?” kepohnya Dian hendak tahu kenapa Ungku Na’il tidak pergi ke majlis kenduri tahlil dan doa selamat di rumah Ungku Azizah nanti. Boleh dikatakan setiap hujung minggu kalau bukan pada hari Khamis malam Jumaat, pasti ada sahaja undangan kenduri di rumah saudara-mara mereka, pusing satu Johor Bahru dan kadang-kala ke seberang Tambak pun selalu juga, kenduri tak sudah-sudah. Bukannya Dian tidak suka dengan aktiviti kenduri itu, dahulu dia selalu juga ikut mama dan nenek cuma dewasa ini Dian kurang senang kerana dia sudah terbau agenda sulit disebalik kenduri itu.

“I kena temankan you kat sinilah.” Jawab Ungku Na’il sambil tersenyum.

Kan! Kan! Temankanlah sangat! Muka tak malu tau dia ni, ejek Dian dalam hati. Dian rasa hendak muntah dengan ayat gula-gula pemanis bibir Ungku Na’il. Umur tu sudah cukup sangat untuk berumah tangga tapi masih membujang lagi kenapa? Kalau tanya Dian, jawab hatinya nanti dia tunggu Danny Richardson masuk meminang tetapi kalau ditanya pada Ungku Na’il apa pula jawapannya ya?

Kerana umurnya sudah lebih 35 tahun dan masih bujang, Dian beri Ungku Na’il gelaran buaya. Tidak terkira berapa ramai perempuan yang dia pernah lihat Ungku Na’il bawa ke hulu ke hilir. Terjumpa berdua di panggung wayang sudah, terjumpa berduan-duaan joging di taman sudah, terserempak makan-makan sudah banyak kali malah sejak Dian dan Ilyana buka kafe ini, sudah dua kali Ungku Na’il bawa ‘kawan’ perempuannya ke mari. Sesuaikan nama buaya tu dengan dia?

“Terima kasihlah sudi temankan I tapi dalam kafe ni pun dah ramai orang yang temankan I.” Jawab Dian dengan sopan.

Pesan mama, kalau tak suka setinggi langit pun jangan kita tunjuk, nanti orang yang kita tak suka itulah yang kita sayang sampai mati, senang kata jadi suami! Dian tak mahu bersuamikan Ungku Na’il kerana #lifegoal Dian hanyalah mahu membina kehidupan dan masa depannya dengan Danny Richardson.

“Tak apalah, I nak temankan juga walaupun dah ramai. Lagi ramai lagi meriah.” Balas Ungku Na’il.

Memang sah muka tak malu, tambah Dian dalam hati lagi. Dian sudah terlambat untuk menahan Ilyana daripada bangun, dia rela melayan sepuluh pelanggan dengan pelbagai karenah daripada duduk berdua dengan Ungku Na’il di sini.

“You nak makan apa Ku?” soal Dian, adalah alasan untuk dia tinggalkan Ungku Na’il sendiri. Cepat-cepat Dian mencatit pesanan.

“Nasi lemak you ada?”

Dian pantas mendakap buku Mary Balogh ke dadanya.

“Nasi lemak ada Dian?” tanya Ungku Na’il lagi. Dia hairan melihat Dian terpempan begitu.

“Ahh? Ohh nasi lemak. Nasi lemak ada. Nak sambal ikan sotong atau sambal udang? Rendang nak?” tanya Dian.

“I nak sambal udanglah tapi nak ikan bilis goreng juga, rendang pun nak tapi kacang goreng tak nak ehh.” Beritahu Ungku Na’il.

“Sambal udang, ikan bilis goreng, rendang, minum?” dah ada sambal udang nak ikan bilis juga, tak cukup iodin ke mamat ni?

Soalan Dian bersambung dalam hati malah turut ditulis pada nota pesanannya. Ilyana yang sedang duduk di kaunter tersenyum simpul membaca apa yang dicatatkan Dian.

“Plain water.”

“Kopi tak nak?”

“Kopi kendianlah lepas makan nasi lemak nanti.” Jawab Ungku Na’il.

Amboi macam nak duduk dalam kafe ini sampai kedai tutup aje ayat si buaya ni, tambah Dian lagi pada nota pesanan itu.

“Banyaknya tulis…” tegur Ungku Na’il.

Dian senyum kambing. Tertangkap pula dia sedang buat nota tambahan siap lukis orang lidi dengan dua tanduk atas kepala, betul-betul di atas nama Ungku Na’il.

Ilyana memerhati gerak-geri tiga pupu itu sambil dia mengelap kaunter yang sudah sedia bersih dan berkilat. Dian suka buat muka buruk ketika sedang bercakap dengan Ungku Na’il, tak usahlah buat muncung sedepa tu, tak lawalah Dian.

“Bos dah baca order?” tanya Dian pada Ilyana. Dia letak tablet kecil atas kaunter sambil melepaskan keluhan.

“Dian, kau menyampah sangat dengan Na’il nanti jadi suami kau, baru tahu.” Beritahu Ilyana tapi Dian buat-buat tak dengar.

“Nasi lemak satu, sambal udang, ikan bilis goreng kasi tabur atas nasi lemak tu dan dia nak rendang juga. Haaa, kacang goreng tak mahu. Bagi dia air kosong aje lepas tu kau letak kulit lemon jangan letak lemon.” Bisik Dian pada Ilyana, mengulangi pesanan Ungku Na’il. Sahabatnya ketawa. Teruk sungguh Dian ni, kut iya pun kurang senang dengan Na’il yang digelar buaya itu tak usahlah sampai menjejaskan perniagaan sendiri.

“Karang kalau si Na’il kompelin macam mana?”

“Kalau dia nak kompelin, suruh dia buat report kat balai polis.”

“Hahaha kau pula report dengan Inspektor Danny Richardson ekk?”

“Suruh Danny tangkap dia terus.” Balas Dian.

“Atas kesalahan apa kau nak suruh boyfriend kau tu tangkap dia?”

“Sexual harrasment!”

“Hah! Kau biar betul?” tanya Ilyana, berat pertuduhan yang sedang disebut Dian ini. Setahu Ilyana, Ungku Na’il itu baik orangnya, tutur katanya sopan, ringan tulang dan langsung tidak ada ciri-ciri lelaki sex maniac.

“Yelah betul ada berlaku sexual harrasament, ada ke tadi dia tanya nasi lemak you ada tak? Gatalkan?” beritahu Dian, membela dirinya.

“Hahahaha tang kau terus tutup dada kau dengan buku Mary Balogh tadi tu dia tanya nasi lemak? Aku fikir juga fasal apa kau tiba-tiba peluk buku tu kat dada kau.”

“Mana tidak, masa aku tengah ambil order tadi dia cakap macam tu. Kita tanya dia nak makan apa, dia jawab macam tu macam manalah aku tak panik. Mujur aku tak hempuk dia dengan buku dan iPad mini ni tadi.” Cerita Dian.

“Apalah kau Dian, itu bukan sexual harrasmentlah. Kau ni, mentang-mentanglah Ungku Na’il tu ada ramai girlfriend, tak baiklah kau tuduh dia macam-macam.”

Ungku Na’il memandang ke arah dua sahabat yang sedang galak bercerita. Terasa terhibur pula dengan keriuhan dua sahabat karib yang sedang seronok berbual disulami ketawa kecil. Dian dan Ilyana benar-benar membuatkan kafe ini hidup.

“Dia kan buat part-time jual insurans tentulah dia ada ramai prospek perempuan. Kau ni tak baik tau tuduh dia yang bukan-bukan. Kau gelar dia buayalah, hantu pakulah, aku tengok dia baik aje tau.”

Ilyana pun tidak faham kenapa Dian seperti kurang senang dengan Ungku Na’il sedangkan sebelum ini rasanya dia tidak pernah kompelin apa-apa tentang perangai Ungku Na’il. Biasalah, orang jual insurans mestilah ada ramai pelanggan dan tidak dapat dielakkan daripada menjual insurans kepada kaum wanita.

“Kau bela dia ehh?”

“Bukan aku bela dia Dian tapi kau janganlah sempitkan fikiran kau sebab aku tahu kau bukan jenis orang yang berfikiran sempit macam ni atau sebenarnya ada perkara yang kau belum cerita pada aku?” tanya Ilyana pula. Dian tidak jawab soalan Ilyana, sudah dua kali Dian mengelak. Ilyana pantas terhidu sesuatu.

“Gaji besar pun buat part-time lagi.” Kata Dian.

“Dia kerja apa ehh selain jual insurans sebab nampak macam banyak free time jek kan?” tanya Ilyana. Rasanya hampir setiap hari Ungku Na’il singgah ke Cafedily, berkemungkinan pejabatnya terletak berhampiran, teka Ilyana dalam hati.

“Entah, aku pun tak tahu dia kerja apa. Apa kata kau interviu masa kau hantar nasi lemak kat dia nanti.” Cadang Dian pula.

“Dah tu mana kau tahu gaji dia besar?” soal Ilyana.

“Illy, kau sendiri pun boleh agak kalau gaji tak sampai lima angka boleh beli ke motor besar, kereta besar, rumah besar kan?”

Dian tidak pernah tanya apakah yang Ungku Na’il lakukan untuk menyara hidupnya yang boleh dikatakan mewah, selain dari apa yang Dian nampak di kafe ini Ungku Na’il menjadikan Cafedily ini sebagai pejabat insurannya, Dian tidak tahu apakah pekerjaan Ungku Na’il yang lain. Dian tidak mahu dilihat berminat ingin mengenali Ungku Na’il setelah dia terhidu rancangan keluarga mereka.

“Kau pun ada dua kerja kan? Eight to five kau kerja kilang, six to twelve plus weekend kau kat kafe ni. Hujung minggu kau full time kat sini. Macam mana kira tu, tamak ke tak cukup?”

“Kerja kilang gaji kecillah. Anyway, kau jangan salah faham aku bukannya benci dengan Na’il tu tapi sejak abang aku ejek-ejek aku nak kena kahwin dengan dia, aku jadi tak sukalah.” Beritahu Dian, akhirnya terkeluar juga cerita yang cuba disimpan daripada pengetahuan Ilyana. Dinginnya bersebab bukan dia suka-suka.

“Ohhhh patutlah semacam aje kau bila jumpa Na’il. Asal Na’il datang kau jadi harimau, asal Na’il sampai aje kau bertukar jadi serigala, rupa-rupanya nak kena kahwin dengan Na’il.” Usik Ilyana pula.

Dia tidak menyangka serius sungguh masalah Dian dengan Ungku Na’il. Wajarlah dia berubah angin apabila Ungku Na’il datang, hati Dian sudah diberikan pada orang lain mana mungkin dia mengasihi dua lelaki dalam masa yang sama.

Bertambah parah lelaki yang selalu muncul di kafe ini sudah menerima imuniti daripada keluarga Dian, berbanding dengan lelaki seorang lagi yang Dian kasih itu, menukar agamanya pun belum bagaimanalah hendak masuk meminang Dian?

“Kau tak kenal hati budi dia, kau tak pernah pun beri peluang pada diri kau untuk berkenalan dengan saudara kau tu, mungkin luaran dia nampak macam buaya tapi sebenarnya dia betul buaya ke tak, kita tak tahu kan? Kau berbaik-baik ajelah dengan dia sebab kita tak tahu esok lusa siapa yang akan jadi jodoh kita kan?” nasihat Ilyana.

“Hurmmm…”

By the way, kau dengan Na’il tu nampak sepadan tau. Comel jek kalau bersanding nanti.”

“Hoiiii!” marah Dian sambal menampar lengan Ilyana dengan kertas flyer yang sedang dia susun berkali-kali.

“Ini yang aku malas nak beritahu kau tau Illy. Kau pun sama macam abang aku, tak membantu langsung tau pendapat peribadi kau tu. Menyesal aku cakap.” Bebel Dian.

Tidak suka sungguh Dian bila dikaitkan dengan Ungku Na’il, cukuplah neneknya sudah melobi Ungku Na’il berkali-kali untuk Dian. Ungku Na’il tu memang handsome, berduit tapi Dian rasa Ungku Na’il tu macam tua sangat untuknya. Sejak di bangku sekolah lagi Dian sudah tetapkan umur bakal suaminya tidak boleh lebih lima tahun daripada umurnya atau lebih tua daripada Ilham. Nanti bagaimana Ilham hendak panggil adik iparnya kalau umurnya lebih muda daripada adik iparnya sendiri?

“Sakitlah Dian, aku gurau jek tadi tau.” Kata Ilyana sambil menggosok lengannya.

“Aku pun gurau juga Illy.” Balas Dian sambil turut sama menggosok lengan Ilyana.

Ungku Na’il menoleh ke arah mereka berdua. Beberapa pelanggan lain juga menoleh ke arah Ilyana dan Dian. Mereka berdua tersenyum ke arah pelanggan dan bibir mereka menyebut sorry beberapa kali.

“Okay apa si Na’il tu Dian, muka dia babyface aje tidaklah nampak sudah empat puluh tahun, sudahlah kulitnya putih sepuh macam salji. Kalau kau kahwin dengan dia Dian, anak kau mesti comel-comel. Aku dah boleh bayangkan macam mana rupa anak kau nanti.” Ilyana masih belum mahu mengalah, dia memang suka menyakat Dian.

“Kalau kau suka kat dia, kau aje yang kahwin dengan dia Illy. Kau pun akan jadi sama cantik sama padan kalau bersanding dengan Ku Na’il tu.” Dian menjuihkan bibirnya.

“Kau nak ke jadi saudara aku?”

“Kan kau bakal adik ipar abang aku? Kira kita ni dah jadi saudaralah, tak payah nak tunggu kau kahwin dengan Ungku Na’il untuk jadi saudara aku.”

Ilyana diam. Dia sayang Dian, dia suka Abang Ilham tapi untuk bersetuju melepaskan kakaknya menjadi isteri kedua Ilham, Ilyana agak keberatan.

“Kau suka Kak Min jadi madu Kak Mal?” tanya Ilyana.

“Tak ada sebab untuk aku tak suka pada Kak Min, dia dah aku anggap macam kakak aku sendiri dan kau pun tahu betapa sedihnya aku bila famili aku buat keputusan untuk abang aku dahulu. Soal jodoh ni Illy kita tak boleh nak halang, kalau sudah jodoh mereka bertiga bermadu, kita doakan yang baik-baik. Allah is the greatest planner. Trust Him yah.” Balas Dian dengan rasional. Siapa kita untuk halang percaturan ALLAH yang telah DIA tetapkan untuk setiap hamba-Nya?


BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5  BAB 6  BAB 7  BAB 8  BAB 9  BAB 10


BELI NOVEL BUKAN KISAH CINTA (PENULIS: ILLI NAZURAH)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *