Ngerikan bila tengok kronologi pengguguran bayi di atas..Sebenarnya beginilah caranya yang digunakan bagi proses pengguguran yang dapat saya istilahkan kepada "pengguguran haram" atau "pengguguran halal". Emm.. kalau yang haram tu semestinya yang telas jelas dari sudut agama iaitu disebabkan oleh perlakuan zina .... yang akhirnya bercambah dan mulai membesar benih-benih yang tidak berdosa itu di dalam rahim yang hadir tanpa undangan... kesiankan baby tu...bukannya salah dia...
Pengguguran tak selamat
Di negara sedang membangun di mana pengguguran adalah tidak sah, wanita kadangnya terpaksa menggunakan prosedur pengguguran aruhan sendiri. Pertubuhan Kesihatan Sedunia menggangarkan bahawa 19 juta pengguguran seperti ini berlaku di dunia setiap tahun dan boleh dikelaskan sebagai pengguguran tak selamat.
********************************************************
Fenomena Kedua
“Membenihkannya” berani, “melahirkannya” takut. Manusia apa ini, tangan ganas mencincang, tapi bahu tak sanggup memikul. Dayus atau konyol?
Gejala pengguguran bayi bukanlah satu isu baru atau yang sengaja dipanas-panaskan. Sejak sekian abad, gejala ini sudah lama menular dan terus menular dalam masyarakat manusia, termasuk manusia Malaysia, termasuk juga manusia Melayu. Fakta yang fiktif menunjukkan bahawa majoriti pengguguran (termasuk pembuangan) bayi di Malaysia memang dilakukan oleh perempuan Melayu, tentu saja bertolak daripada sebab-sebab tertentu dan khusus.
Menurut kajian, hanya ada satu saja sebab mengapa pengguguran bayi berlaku, walaupun pernah dicatatkan ada juga sebab-sebab sampingan yang lain.
Satu-satunya sebab terbesar itu adalah kerana bayi dalam kandungan seseorang perempuan itu tergolong sebagai anak haram alias anak luar nikah, dan kerananya, sebelum bayi itu harus lahir sebagai insan bernyawa, baiklah awal-awal lagi ianya digugurkan. Masyarakat Melayu, secara primitif, tidak rela menerima kehadiran bayi di luar nikah, dan akan selalu memandang serong terhadap anak luar nikah. Kerananya adalah lebih baik digugurkan awal-awal.
Atau andaikata bayi tersebut sempat juga dilahirkan dan hidup bernyawa, ianya pasti akan dibuang. Untung kalau sekadar dibuang ke tangga masjid, ke pintu-pintu rumah awam, ke gerai-gerai niaga umum. Sebaliknya akan malanglah apabila bayi itu dicampakkan saja ke tong sampah, dilempar ke sungai, ditinggalkan di tengah hutan atau dikambus hidup-hidup.
Kenapa?
Kenapa manusia (khususnya manusia Melayu Islam) sanggup menggugurkan bayinya sendiri?
Walaupun bayi itu membenih dari perbuatan zina, apakah wajar ianya digugurkan?
Bagi manusia manapun yang tahu agama, maka akan tahu pula dia bahawa menggugurkan bayi adalah satu perbuatan dosa. Berzina sudah satu dosa. Hamil kerana berzina satu dosa lagi. Sebaliknya, menggugurkan bayi menjadi dosa yang lebih besar.
Tidak ada seorang pun manusia waras di dunia ini yang sanggup menggugurkan bayi dalam kandungannya; atau membuang bayi yang baru dilahirkannya. Apabila berlaku peristiwa sedemikian, pastilah ada sesuatu yang betul-betul tidak kena.
Bayi adalah benih harapan setiap manusia. Ianya dibenihkan demikian rupa (biasanya melalui proses penuh kenikmatan), maka kenapa harus digugurkan? Rahim telah rela menerima, kenapa hati masih juga enggan?
Benar, pada ketika-ketika tertentu, seseorang ibu masih dibenarkan mengambil keputusan menggugurkan bayi dalam kandungan. Pertama, apabila tempoh kandungan belum mencecah tujuh minggu, ketika bibit benih belum lagi menjadi janin. Dengan alasan dan sebab yang konkrit, si ibu dikatakan berpeluang untuk menggugurkan kandungannya. Kedua, kerana dipercayai andaikata proses mengandung itu dibiarkan membesar, ianya boleh membahayakan nyawa si ibu. Mungkin kerana kesihatan si ibu sangat terganggu, kerana keupayaan si ibu diragui, kerana si ibu berpenyakit. Dalam kes seperti ini, adalah wajar untuk menggugurkan kandungan demi menyelamatkan si ibu.
Dan ketiga, apabila bayi dalam kandungan disahkan berada dalam bahaya; mungkin sama sekali tidak cukup sifat; mungkin tidak boleh membesar sewajarnya; mungkin juga telah kejangkitan aneka macam wabah penyakit. Maka demi keselamatan si ibu dan demi kebaikan si bayi, pengguguran akan dibenarkan.
Terlepas dari maslahat-maslahat tersebut, tidak seorang ibupun memiliki hak untuk menggugurkan bayi dalam kandungan. Jika perbuatan sedemikian dilakukan, ianya tentulah dengan sebab-sebab “tidak waras” dan hilang pertimbangan.
Sekali lagi, kerana bayi dalam kandungan adalah benih harapan, maka benih harapan itu mestilah diberi peluang untuk bercambah, bertunas dan hidup sempurna dalam dunia yang tersedia untuknya. Menggugurkannya ketika bayi dalam kandungan bererti menyanggah kehendak nature, menentang arus kesemulajadian manusia.
Dan kerana ianya akan berlawanan pula dengan syariat Allah, barangsiapa yang melakukan pengguguran bayi, dosa jugalah yang tersedia. Setiap perbuatan dosa akan diiringi oleh trauma. Setiap trauma akan menjadi bisul dalam kehidupan buat sepanjang hayat. Berasa menyesal dan berasa bersalah, pada akhir-akhirnya membuatkan si ibu yang menggugurkan bayi hilang konsentrasi terhadap hidup. Lama kelamaan, fikiran akan kacau, perasaan akan ‘centang-perenang’.
Dan jangan hairan, kalau ibu-ibu seperti itu, akan terserang penyakit “meroyan” atau “gila muyan” (seperti kata orang Kelantan). Maka hilanglah makna kehidupan. Hilanglah seri harapan mengejar esok.
Harus diberikan catatan tambahan: baik si bayi itu anak haram atau anak halal, haknya untuk hidup adalah serupa. Kalau ibu-ibu yang berpenyakit, yang disahkan bakal menanggung risiko andaikata terus mengandung dan melahirkan bayi, masih juga bersabar dan pasrah untuk membesarkan kandungannya dan sekali gus reda dengan kelahiran bayinya (walaupun akan kehilangan nyawa sendiri); lalu di mana logiknya bagi ibu-ibu yang sihat segar, yang pasti mampu mengandung dan melahirkan, harus menggugurkan bayi dalam kandungannya, walaupun bayi itu membenih secara haram; apatah andaikata bayi itu memang tercipta secara halal?
Perbuatan menggugurkan bayi dalam kandungan atau membuang bayi yang sempat lahir, umumnya dibayangi oleh sebab-sebab yang sangat “memaksa”. Apabila ianya dilakukan oleh perempuan-perempuan yang mengandung secara haram, dengan mudah dapat ditebak sebab-sebabnya.
“Gugurkan saja kandunganmu, atau kita berpisah, atau kamu boleh balik kampung,” seorang lelaki mengugut seorang perempuan. Baru beberapa bulan perempuan itu mengandung, dan kini, ketika kandungannya mulai dapat dikesan mata, dia mula diberi amaran. Amaran itu datang dari teman laki-lakinya sendiri, mungkin suami-tanpa-nikah (teman sekedudukan), mungkin kekasihnya, mungkin juga sugar-dady-nya.
Mahu tak mahu, terpaksalah bayi digugurkan.
“Buang saja bayi itu. Jangan nak sentimental,” seorang suami-haram memaksa isteri-haramnya. “Jika tidak, aku tak balik lagi kepada kamu. Aku tak akan sara lagi hidup kamu.”
Mahu tak mahu, terpaksalah bayi dibuang ke mana sahaja. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam.
Memang tidak ada alasan untuk bertahan, apatah untuk melawan. Benih telah dicerna secara haram, maka kandunganpun akan dianggap kandungan haram. Jika bayi dilahirkan, akan dicap sebagai anak haram juga.
Kehidupan banyak bergantung kepada suami-haram, apa kata suami-haram mesti didengar. Baik kekasih baik sugar-daddy, apatah kalau bapa ayam, tidak akan sanggup menanggung biawak hidup. Gugurkan saja kandunganmu. Buangkan saja bayimu!
Banyak sekali cerita mengenai para pelacur (yang memang hidup tanpa suami), apabila terlanjur hamil, akan terpaksa menggugurkan kandungannya. Mana boleh pelacur mengandung? Pelanggan mana yang akan bayar? Kecuali si pemilik “maniak” dan “kelainan sex”.
Pernah juga diceritakan perihal pekerja-pekerja perempuan (yang telah bersuami secara sah) di sektor tertentu, yang berhadapan dengan syarat ketat: “Kalau hendak terus bekerja di sini, jangan mengandung”, maka sekali terlanjur mengandung, walaupun prosesnya adalah halal, terpaksa menggugurkan kandungannya.
Malahan, khabarnya tidak sedikit para pelatih di pelbagai macam kolej atau maktab, yang sebelum tamat latihan tidak dibenarkan mengandung (walaupun diizinkan bersuami), andaikata tiba-tiba harus mengandung, pada akhirnya terpaksa menggugurkan kandungan demi menyelamatkan masa depan kerjayanya.
Demikian kita melihat sekian banyak sebab mengapa senantiasa saja ada khabar berita perihal perempuan-perempuan yang menggugurkan kandungannya; yang tidak sedikit pula kerana salah cara menggugurkan itu, ketimpaan musibat yang besar, antaranya ada yang boleh membawa maut.
Di tempat lain, terdapat pula perempuan-perempuan muda yang belum bersuami. Tetapi kerana terlanjur atau dipaksa terlanjur, akhirnya diharuskan menggugurkan bayinya. Perempuan-perempuan ini mungkin bukan datang dari kalangan yang rosak akhlak. Boleh jadi saja mereka gadis baik-baik. Tetapi kerana terlalu percayakan kekasih, terlalu percayakan laki-laki yang baru dikenali, akhirnya kehormatannya tercemar. Dan mengandunglah jawapannya.
Terdapat pula gadis-gadis yang menhjadi mangsa pemerkosaan. Diperkosa oleh teman istimewa sendiri. Diperkosa oleh muhrim sendiri. Atau diperkosa oleh perogol bersiri. Antaranya ada yang tidak langsung menyadari tubuhnya telah diratah dan “dara”nya telah dirobek gara-gara dipukau oleh aneka macam ubat perangsang. Sadar tak sadar, diri telah mengandung.
Banyak daripada mangsa sedemikian mampu “menyembunyikan” kehamilannya hingga ke saat-saat terakhir. Ibubapa tak mampu mengesan. Guru-guru di sekolahpun tak dapat mengesan. Teman-teman sekolah juga tak dapat menghidu. Lantas itulah terciptanya cerita bagaimana seorang pelajar keguguran atau bersalin dalam tandas sekolah; merengkok kesakitan dalam semak samun antara rumah dengan sekolah; dan macam-macam lagi.
Sebaliknya pula, sekiranya kes mengandung sedemikian sempat dikesan oleh ibubapa, ibubapa yang tahu peel perangai sebenar anaknya, tidak akan sampai hati untuk menjatuhkan hukuman. Sebaliknya tinggal satu saja cara untuk menyelamatkan harga diri dan maruah keluarga. Cara itu ialah dengan menggugurkan kandungan. Atau kalau kandungan tidak sempat digugur, si mangsa akan dihantar jauh dari kampung untuk menyelesaikan kehamilannya, lalu setelah bayi dilahirkan, bayi itu akan diserahkan kepada siapa sahaja. Dan konon-kononnya cerita pun tamat sampai di situ!
Sama ada cerita itu betul-betul tamat atau tidak, si mangsa sendirilah yang mengalami dan tahu akan pengalamannya. Namun satu perkara adalah jelas, pengguguran kandungan dan pembuangan bayi hanya berlaku justru kerana mangsa memang ditakut-takutkan dengan aneka macam paksaan; juga kerana ada rasa takut di kalangan mangsa atau orang-orang sekitar mangsa.
Seolah-olah semuanya jalan telah tertutup.
Satu-satunya jalan hanyalah dengan menggugurkan kandungan.
Hidup atau mati, takdirlah pemutusnya.
Tetapi jangan pula menyangka perbuatan menggugurkan bayi dalam kandungan itu hanya dilakukan oleh perempuan-perempuan muda yang belum berstatus isteri, kerana tidak sedikit kes-kes pengguguran (dan pembuangan) bayi turut dilakukan oleh perempuan-perempuan yang memang sudah bersuami secara sah, tetapi selalu terdesak untuk tidak “melahirkan” bayi kandungannya.
Ertinya, dalam keadaan apapun, bayi itu harus digugurkan!
Kes-kes sebegini agak unik dan aneh, tetapi bukan sesuatu yang mustahil.
Di sana sini, manusia selalu saja berfikiran dan bertindak luar biasa.
Pernah disebutkan, kedapatan suami yang tidak lagi mahukan anak (tambahan). Cukuplah dengan lapan orang anak yang sedia ada. Lalu apabila kebetulan si isteri kembali mengandung, si suami akan memaksa isteri menggugurkan kandungannya. Masih untung andaikata pengguguran berlaku ketika kandungan baru beberapa minggu, dan benih belum menjadi janin, tapi alangkah malangnya si isteri apabila terpaksa menggugurkan kandungannya ketika bayinya sudah mula bersifat.
Memang, sepanjang terjadinya pengguguran kandungan oleh perempuan, seperti juga sepanjang berlakunya peristiwa pembuangan bayi, bukan sekadar si perempuan yang berperanan. Tidak sedikit, pernanan yang sama, bahkan lebih, turut dilakukan oleh lelaki. Lelaki yang sanggup menendang perut isteri (atau perempuan yang bukan isterinya, tetapi terlanjur mengandung akibat perbuatannya), semata-mata supaya kandungan si perempuan itu gugur. Tidak sedikit suami atau laki-laki yang berikhtiar aneka macam cara supaya kandungan isterinya atau kandungan “perempuan securangannya” jadi “hancur berkecai”.
Pun ada kalanya, si perempuan sendiri yang mengambil inisiatif. Si isteri yang berasa sudah letih dengan tujuh atau lapan anak, tiba-tiba masih dibenihkan oleh si suami (padahal sudah sering diberi amaran: “Jangan hamilkan saya. Buatlah apa sahaja yang awak mahu, tapi tolong jangan hamilkan saya”), pada akhirnya akan memberontak dengan cara mengambil jalan mudah. Kandungan mesti digugurkan. Di luar atau dalam pengetahuan suami, kandungan tidak boleh dibiarkan menjadi bayi. Mesti digugurkan awal-awal.
Betul atau tidak, rasional atau tidak tindakan seperti itu, bukan soalnya. Soalnya adalah: “saya tidak sanggup lagi bersalin. Seksa sangat. Saya sudah tidak mampu menjaga anak. Saya sudah tua.”
Tetapi di sana, ada pula cerita-cerita “perselingkuhan” yang akhirnya membawa kepada perbuatan menggugurkan kandungan. Tidak semua isteri itu setia, kendati sangat banyak (dan majoriti) yang senantiasa menjaga kehormatannya. Di tempat-tempat tertentu, masih terdapat perempuan-perempuan berstatus isteri yang gemar bermain kayu tiga di luar rumah. Suami keluar melalui pintu depan, isteri keluar melalui pintu belakang.
Anehnya, sepanjang berhubung dengan suami sendiri, benih tak pula bercambah. Mungkin kerana bantuan aneka macam ubat; atau kerana si suami “orgasma” di luar. Tetapi sekali berhubungan dengan laki-laki lain, semua ubat dilupakan. “Orgasma” boleh di luar boleh di dalam, demi kepuasan pasangan dan kepuasan sendiri.
Dan jawapannya mudah dibaca. Sekali belum dua kali tidak. Masuk tiga kali, benih pasti berputik. Mahu diapakan lagi? Rahim pun penuh. Perut pun berisi. “Mengandung”lah natijahnya.
Maka hati pun mulai runsing. Otak pun mulai pening. Hendak dikatakan mengandung anak haram, ada suami. Hendak dibiarkan kandungan membengkak, seribu ketakutan mengancam. Takut suami syak satu hal. Nanti suami tanya: “Saya tak pernah orgasma di dalam, macam mana boleh jadi benih?” Tapi yang betul-betul ditakutkan adalah andaikata anak yang dikandung itu, sekiranya sempat, wajahnya sama sekali lain daripada wajah suami, sebaliknya sangat iras dengan wajah “suami kedua” atau “suami ketiga” yang dibawa berkubang di luar sana.
Bagaimana ini?
Mahu tak mahu, kandungan terpaksa digugurkan juga. Tentulah dengan pelbagai macam dalih. Atas nasihat doktor konon. Jatuh di bilik air konon. Tergelincir di tangga konon. Kerana sudah berusia konon. Macam-macam konon!
Logiknya rela dengan pengguguran, namun tersirat juga rasa terpaksa. Di tempat lain, seolah-olah terpaksa melakukan pengguguran, namun rela juga mengalaminya.
Dan hati, tidakkah menyesal?
Perasaan, tidakkah bercelaru?
Tidakkah, secara diam-diam, mulai bergema kutukan-kutukan dan celaan-celaan terhadap perbuatan nesta itu? Lalu, bolehkah hidup jadi tenteram menanggung sekian banyak beban dosa, dosa kering dan dosa basah itu?
***************************************
FENOMENA KETIGA
HUKUM MENGGUGURKAN BAYI DALAM KANDUNGAN
SOALAN 1:
Apakah hukumnya seorang isteri menggugurkan janin sebelum usianya empat bulan kerana mahu menumpukan perhatian kepada kerjaya?
JAWAPAN:
Tidak semua wanita di dunia ini diberi kurnia untuk mengandung. Ada sebahagiannya yang boleh mengandung ada pula sebahagiannya yang tidak boleh mengandung dengan sebab-sebab tertentu.
Mafhumnya, janin dan jasad manusia terbentuk di dalam rahim wanita. Kelebihan ini tidak ada tolok bandingnya. Dalam keadaan puan saya percaya, bahawa puan bukan suka-suka nak gugurkan janin, tetapi ada alasan.
Namun alasan puan tidak cukup kuat untuk menggugurkan janin tadi walaupun belum cukup empat bulan. Puan memberi alasan kerana hendak menumpukan kerjaya. Maksudnya kelahiran anak itu akan mengganggu kerjaya puan?
Allah beri puan peluang untuk mengandung jangan pula puan jadikannya sebagai bebanan. Lebih-lebih lagi jika mengandung anak yang sulung. Adalah sama sekali tidak wajar kerana inilah peluang puan untuk menimang cahaya mata yang akan membawa sirna baru dalam kehidupan puan.
Letakkan tangan puan pada perut dan tanya perasaan puan dengan setulus hati adakah dia (janin) itu tidak berhak membesar di dalam perut puan dan mahu di keluarkan agar dia tidak melihat bumi?
Cuba puan lihat kepada generasi yang terdahulu dalam lingkungan awal 1970 atau lebih awal dari itu. Suasana kehidupan mereka lagi susah berbanding dengan kita namun mereka berjaya membesarkan anak-anak mereka.
Untuk menjadikan puan lebih faham saya muatkan di sini beberapa ayat-ayat suci al-Quran untuk renungan dan penghayatan puan. Allah SWT janji rezeki mereka yang bakal lahir sudah ditentukan dan kelahirannya juga tidak akan mengganggu kehidupan seharian puan malahan kehadiran anak-anak akan menjadikan kehidupan ibu dan ayah lebih bermakna.
Firman Allah SWT yang bermaksud: ...dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah Yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka; dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan...(al-An’am: 151).
Dalam surah yang lain Allah menjelaskan bahawa dialah yang berikan seseorang zuriat lelaki dan perempuan. Firman-Nya yang bermaksud: Bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan di bumi; ia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya; ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. (asy-Syura’: 49)
Allah menegaskan bahawa jangan sesekali kalian membunuh anak kerana takutkan kepapaan. Firmannya yang bermaksud: Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar. (al-Israk: 31)
Sebagai tambahan dan lebih faedah untuk pembaca disertakan hukum menggugurkan janin dalam keadaannya yang berbeza:
Janin menghidap penyakit yang ringan (tidak mengakibatkan kematian) yang boleh diubati.
Hukumnya: Haram sebelum berumur empat bulan dan selepasnya.
Janin menghidap kecacatan ringan yang tidak boleh diubati tetapi ia boleh hidup. Seperti buta, cacat sebelah tangan atau kedua-duanya, cacat kaki, kurang jari dan sebagainya.
Hukumnya: Haram jika umur janin melebihi empat bulan dan harus kiranya umur bayi kurang empat bulan.
Janin menghidap kecacatan yang serius yang membawa kematian seperti tiada kepala, tiada paru-paru dan sebagainya.
Hukumnya: Biasanya janin akan gugur dengan sendirinya. Tiada hukum.
Janin mengalami kecacatan anggota yang membawa akan membawa kematian sejurus selepas dilahirkan.
Hukumnya: Terdapat perbezaan pandangan ulama.
-Harus sebelum berumur empat bulan, haram selepas empat bulan.
-Harus walaupun selepas empat bulan dengan syarat keyakinan tinggi hasil analisis doktor-doktor pakar.
Janin menghidapi penyakit AIDS.
Hukumnya: Harus sebelum empat bulan, haram selepas empat bulan.
Janin yang terhasil akibat dirogol.
Hukumnya: Harus digugurkan hanya sebelum empat bulan.
Janin yang sihat @ sakit @ cacat tetapi nyawa ibu terancam kiranya janin dilahirkan.
Hukumnya: Harus gugur janin sama ada sebelum atau selepas empat bulan, kerana nyawa ibu diutamakan dalam hal ini.
SOALAN 2:
Mengapa umur janin sebelum dan selepas empat bulan membawa perbezaan hukum?
JAWAPAN:
Berdasarkan hadis riwayat Muslim, titik hidup manusia bermula sebagai manusia dengan mempunyai hak-hak kemanusiaan yang diiktiraf dalam Islam adalah dari umur empat bulan dalam kandungan.
Ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud manusia ditiupkan rohnya ketika sekitar berumur 120 hari. Demikian pandangan mazhab yang empat dan majoriti fuqaha.
Maka apabila telah ditiup roh, janin tersebut dianggap sebagai seorang manusia yang mempunyai hak seperti manusia sempurna. Justeru, penggugurannya adalah dikira membunuh manusia atau nyawa.
Ia diharamkan oleh Allah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Dan janganlah kamu membunuh nyawa manusia yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan alasan yang benar (di sisi syarak). (al-An’am: 151)
Walaupun majoriti fuqaha memfatwakan boleh menggugurkan janin sebelum empat bulan dengan sebab-sebab yang konkrit, terdapat sekumpulan kecil ulama yang mengharamkannya dalam semua peringkat umur janin, ia adalah pandangan Imam Abu Hamid Al-Ghazali (wafat 505 H), serta sebahagian fuqaha Mazhab Maliki.