Khamis, 22 September 2011

Apakah Erti Hidup?


Pernah terlintas di fikiran bahawa kehidupan harian kita kurang bermakna? Hidup terasa kosong dan tiada apa-apa yang harus dicari dan direbut? Nikmat masa yang ada hanya perkara biasa dan dibiarkan berlalu begitu sahaja.... Kenapaboleh jadi begitu yer.... Adakah kita sudah "bosan" dengan hidup ini?...Emmm, mungkin.. yerlah...kehidupan tidak seperti apa yang kita rancang atau inginkan... ada macam-macam hal lagi penyebabnya... Setiap manusia ada sebab musababnya tersendiri....tepuk dada tanya minda!


Sekarang,mari kita beri makna pada kehidupan ini. Cuba kita rasakan bahawa kehadiran kita di  muka bumi ini merupakan anugerah besar daripada Allah SWT. Setiap tindak-tanduk, pada setiap saat adalah amal-amal yang bermakna. Elakkan tindak-tanduk yang sia-sia kerana kehidupan ini sangat bernilai untuk disia-siakan.


Erti Hidup


Secara semulajadi,kehidupan seseorang itu adalah jangka masa yang Allah SWT berikan kepadanya... bermula dari nafas awal yang seseorang lakukan hingga ke nafas akhir. Antara nafas pertama dan terakhir itu merupakan tempoh hidup seseorang di atas muka bumi ini.

Tempoh hayat seseorang adalah antara dua nafas, nafas pertama dan nafas terakhir. Berapa jarak masa antara dua nafas itu tidak pun seseorang mengetahuinya  di mana ia dikenali sebagai usia seseorang di atas muka bumi ini. Usia itu adalah ketentuan Allah SWT yang patut dihargai kerana kehidupan merupakan anugerah.

 Dengan mudah, kita sedar bahawa ukuran kejayaan dalam hidup ditentukan oleh bagaimana kita memanfaatkan sensori tubuh kita bermula dari nafas pertama hingga ke nafas terakhir. Dengan kata lain deria tubuh sedar dengan setiap gerak-geri yang kita lakukan.Pada setiap saat atau setiap nafas, kita sedar dengan apa yang kita lakukan adalah perkara-perkara yang bermanfaat dan bermakna untuk diri kita dan diri orang lain. Rasa sedar ini ditentukan oleh sejauh mana kita memanfaatka deria mata secara "explisit" dan "implisit".

Secara "explisit" bermaksud deria mata dimanfaatkan dengan melihat keluar, melihat perkara-perkara yang nampak dan boleh dilihat. Kita melihat kejayaan dihadapan kita, kita melihat kekayan yang dimiliki dan sebagainya...Dengan melihat dan merasai kejayaan-kejayan ini, kita akan lebih sedar dan menghargai setiap kejayaan tersebut.

Manakala secara "implisit"pula adalah cara kita gunakan deria mata secara dalaman. Sesuatu yang tidak nampak, tetapi ia boleh dibayangkan. Bayangan ini boleh dibesarkan, ruang dan jaraknya juga boleh dibesarkan. Dengan kata lain kita boleh bayangkan kejayaan yang diimpikan itu dalam bentuk yang hebat dan besar... Lebih kurang macam beranagn-angan la...cuma jangan jadi macam angan-angan Mak Jenin!


Hargai Setiap Nafas!

 
Insan yang memahami erti hidup adalah insan yang menyedari dan menghargai setiap saat kehidupannya. Dengan kata lain, ia menyedari setiap nafas yang disedut ke dalam dirinya dan setiap nafas yang dihembus keluar kerana hayatnya ditentukan oleh setiap nafas yang masuk dan keluar tersebut.

Jika ini boleh dirasakan maka seseorang akan peka dengan kehidupan harian yang dilalui.Setiap saat mempunyai makna besar bagi dirinya kerana nafas itu yang menentukan hidup atau mati untuk dirinya. Namun begitu keadaan ini amat jarang disedari. Manusia hanya menyedari nafas diri ketika berada dalam situasi cemas, ketakutan dan kebimbangan. Manusia memahami dan menghargai nilai nafas di saat tekanan negatif melanda diri. Lebih malang jika nafas hanya disedari bila seseorang sudah tidakbernafas lagi!

Oleh itu nikmati kehidupan ini dengan menikmati setiap nafas yang kita sedut pada setiap kehidupan ini.Bernafas dengan tenang dan selesa serta rasai oksigen yang menembusi setiap sel-sel di dalam tubuh. Itulah nikmat Allah SWT yang kita hirup pada setiap saat hidup di atas muka bumi ini.

Bukankah setiap sel-sel itu bertasbih memuji Penciptanya serta bergerak mengikut sunnatullah, taat dan patuh kepada Tuhan? Rasakan setiap sel bertasbih memuji Allah, mensyukuri setiap nikmat nafas yan g disedut daripada bumi Allah SWT ini.



Nilai Masa Lalu Dan Masa Akan Datang

 

Kita menyedari bahawa nafas kita yang telah berlaku adalah tempoh masa yang telah berlalu dari diri kita. Kita ada nafas sekarang dan nafas akan datang. Tahap kejayaan ditentukan oleh bagaimana kita memanfaatkan setiap detik dan saat yang mendatang. Kita adalah apa yang kita lakukan sekarang dan masa akan datang. Kita bukan yang semalam atau masa yang telah berlalu.

Waktu yang telah berlalu merupakan qada dan qadar Allah SWT yang wajib diterima dengan redha. Ia tidak boleh diubah. Ia tidak boleh dikembalikan tetapi boleh dijadikan pengajaran demi masa akan datang.

Secara sedar seseorang harus menerima ketentuan dan qadar ini agar kehidupan masa hadapan dapat dilalui secara positif dan bermakna. Sikap positif ini akan mengundang lebih banyak kebaikan dalam usaha-usaha yang kita lakukan untuk kebahagiaan dan kejayaan hidup ini. Kenangan pada masa lampau hanya akan mengundang kesedihan dan kekecewaan terhadap kegagalan yang dilalui.

Masa depan masih belum tentu. Nafas kita di masa depan juga masih belum pasti sampai bila.Namun masa depan perlu dirancang dengan matlamat yang jelas serta strategi gerak kerja yang teratur. Usahakan secara bersungguh-sungguh dengan harapan matlamat itu tercapai.


Nilai Masa Sekarang (NOW)


Oleh itu, nilai hidup kita adalah pada saat masa sekarang (now). Bagaimana kita memanfaatkan masa sekarang(now) ini yang bakal menentukan nilai kehidupan kita di sini dan akan datang. Masa sekarang(now) yang dimaksudkan adalah setiap nafas baru yang disedut dan setiap saat baru yang ditempuh. Ia bukan nafas yang sudah dilepas atau saat masa yang sudah berlalu. Setiap nafas baru dan setiap saat baru, itulah masa sekarang (now) bagi setiap insan.

Apa amal terbaik untuk kita lakukan dalam masa sekarang ini? Maka lakukan sesuatu amal yang boleh memberi kebaikan pada diri kita serta orang lain, demi kehidupan duniawi serta kehidupan ukhrawi. Bertindak dengan segera demi kejayaan dan kebahagiaan diri kita dan keluarga kita.


Rebut 5 Sebelum 5!


Islam sangat menekankan persoalan mengurus masa sebagai syarat memperolehi kejayaan di dunia dan akhirat. Setiap saat(now) harus dimanfaatkan untuk kejayaan dan kecemerlangan hidup. Usah sia-siakan masa yang ada kerana setiap saat yang ada bakal menentukan kejayaan hidup seseorang.

Kita sering diingatkan dengan firman Allah SWT; "Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." (Surah al-'Asr, ayat 1 hingga 3)

Rasullallah S.A.W menasihati kita, "Rebut 5 perkara sebelum datang 5 perkara ; sihat sebelum sakit, lapang sebelum sempit, muda sebelum tua, kaya sebelum miskin dan hidup sebelum mati."

Firman Allah SWT, "Maka bersabarlah engkau (Muhammad) sebagaimana kesabaran rasul-rasul yang memiliki keteguhan hati dan janganlah engkau meminta agar azab disegerakan untuk mereka. Pada hari mereka melihat azab yang dijanjikan, mereka merasa seolah-olah tinggal (di dunia) hanyalah sesaat  sahaja pada siang hari. Tugasmu hanya menyampaikan. Maka tidak ada yang dibinasakan, kecuali kaum yang fasik (tidak taat kepada Allah SWT)." (Surah al-Ahqaf, ayat 35)

Cuba hayati maksud di pertengahan ayat ini, "Pada hari mereka melihat azab yang dijanjikan, mereka merasa seolah-olah tinggal (di dunia) hanyalah sesaat sahaja pada siang hari."

Maka begitulah perbandingan masa antara kehidupan dunia dan kehidupan akhirat. Nilai "sesaat" itu yang bakal menentukan nasib seseorang di sana nanti. Justeru, beramallah dalam masa "sesaat" itu agar kita memperolehi kebahagiaan abadi dan hakiki di kemudian hari nanti.


Sebenarnya hidup ini amatlah bernilai untuk disia-siakan. Setiap saat masa dan nafas yang seseorang lalui bakal penentu untung nasib kehidupannya di kemudian waktu. Penuhi setiap saat dan setiap nafas itu dengan kebesaran Ilahi, mudah-mudahan kita akan beroleh keredhaan-Nya sekarang dan akan datang. InsyaAllah!

Wallahu'alam....

Create your own banner at mybannermaker.com!

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails